Gagal Kerja Dengan Baik, Syarikat Konsesi Penyelenggaraan Jalan Raya Berdepan Tindakan Tegas

Peter ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Daerah Nabawan

NABAWAN, 4 Julai – Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kontraktor atau syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya yang didapati tidak menjalankan kerja dengan baik, kata Menterinya Datuk Peter Anthony.

Beliau berkata kementeriannya menerima banyak aduan daripada pelbagai pihak mengenai masalah kerja-kerja penyelenggaraan tidak sempurna, dan siasatan berhubung perkara itu akan dijalankan termasuk melakukan pemantauan menyeluruh di kawasan konsesi penyelenggaraan di seluruh negeri.

“Kita mendapat maklumat ada antara kontraktor dilantik melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sempurna. Ini termasuk aduan mengenai kegagalan syarikat menyelenggara mengikut jadual selain penyelenggaraan tidak menepati perintah kerja.

Tindakan akan diambil terhadap kontraktor dan syarikat tidak melaksanakan kerja seperti ditetapkan kerana rakyat seharusnya mendapat akses jalan raya lebih baik daripada perkhidmatan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap tidak menafikan berlaku sedikit kelewatan pembayaran elaun kepada ketua-ketua adat di negeri ini termasuk Nabawan.

Bagaimanapun, Peter yakin kerajaan Sabah menerusi Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah akan mengambil pendekatan proaktif untuk menyelesaikan perkara itu dalam tempoh terdekat.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *