Suri Rumah Dan Bayi Nyaris Terperangkap, Dinding Rumah Terbakar

Puluhan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 4, Jalan Apas di Tawau. – Gambar Media Sosial

TAWAU, 3 Julai – Seorang suri rumah bersama bayi perempuannya yang berusia 10 bulan, nyaris terperangkap dalam kebakaran melibatkan rumahnya di Kampung Kinabutan Kecil, Batu 4 Jalan Apas di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa Suraedah Mohammad Djafar, 38, berjaya meloloskan diri bersama anaknya Nur Azarina Sofian, tanpa mengalami kecederaan selepas terdengar suara orang menjerit kebakaran.

“Saya di ruang tamu bersama anak sebelum mendengar orang ramai berteriak ada kebakaran, saya sempat mendukung anak dan mengambil dokumen penting. 

“Ketika itu, dinding rumah mulai terbakar, syukur saya sempat melarikan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Katanya ketika kejadian dia hanya tinggal bersama anaknya, manakala suaminya dalam perjalanan mengambil seorang lagi anak lelakinya di sebuah sekolah tadika. 

Mangsa berkata tiada barangan lain dapat diselamatkan berikutan api merebak dengan pantas. 

Sementara itu, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Kampung Kinabutan, yang terletak berhampiran lokasi kebakaran terpaksa menghentikan sesi pembelajaran kira-kira 300 murid dan membenarkan kesemuanya pulang ke rumah.

Seorang guru agama yang ditemui Bernama berkata sesi persekolahan itu yang sepatutnya ditamatkan pada pukul 3 petang terpaksa ditutup bagi tujuan keselamatan.

Dalam kebakaran 10.30 pagi di Kampung Kinabutan Kecil itu, bomba menganggarkan 86 rumah musnah dengan melibatkan kira-kira 430 mangsa hilang tempat tinggal.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata api berjaya dikawal pukul 11.36 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 1.34 tengah hari. 

Bagaimanapun, kata Sharudy tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *