JHL Sandakan Tangkap Buaya Terperangkap di Taman Nuri

Seekor buaya betina yang terperangkap di kawasan parit Taman Nuri, di Sandakan, petang semalam. Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sandakan

SANDAKAN: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan menangkap seekor buaya betina yang terperangkap di kawasan parit Taman Nuri, di sini, petang semalam.

Haiwan reptilia yang dianggarkan seberat kira-kira 120 kilogram dan sepanjang tiga meter itu berjaya dikeluarkan daripada parit berkenaan jam 6.15 petang.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin, berkata pihaknya menerima maklumat daripada pengadu yang juga seorang penduduk di kawasan berkenaan yang menyedari terdapat buaya di parit belakang rumahnya.

“Pengadu memaklumkan kepada pihak bomba sebelum aduan dibuat kepada JHL kerana bimbang dengan keselamatan penduduk kawasan berkenaan.

“Sebaik tiba, kami dapati buaya berkenaan tidak dapat keluar dari parit itu kerana air sudah surut dan kami mendapatkan bantuan daripada Taman Buaya Sandakan untuk menangkap buaya itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi menangkap buaya dilakukan tiga kakitangan JHL dan empat daripada Taman Buaya Sandakan.

“Operasi menangkap buaya dilakukan menggunakan tali dan mujur haiwan itu tidak terlalu agresif.

“Buaya berjaya ditangkap kira-kira jam 6.15 petang dan buat sementara ini, ia ditempatkan di Taman Buaya Sandakan,” katanya.

Sementara itu, Hussien berkata, pihaknya dalam usaha mengesan seekor lagi buaya dipercayai berada di Sungai Batang, Batu 10, dekat sini.

“Usaha mengesan buaya berkenaan dilakukan dan perangkap sudah dipasang sejak menerima aduan daripada orang awam seminggu lalu.

“Papan tanda amaran juga sudah dipasang untuk makluman orang ramai di kawasan berkenaan,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *