Tubuh Jawatankuasa Khas Perinci Keputusan Ambilalih Projek Lebuhraya Pan Borneo Di Sabah

KOTA KINABALU, 2 Julai – Sebuah jawatankuasa akan ditubuh di peringkat negeri bagi memperinci pengambilalihan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah .

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata jawatankuasa itu akan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dan dianggotai oleh pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Kewangan Sabah , Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Ia susulan keputusan Kementerian Kerja Raya mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah menjelang akhir September ini yang diumumkan oleh menterinya Baru Bian pada Sabtu lepas.

“Apabila siap dibentuk, kita akan umum hasilnya sebelum pelaksanaan kesemua kerja (Lebuhraya Pan Borne) bermula September nanti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat eksekutif Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di sini, hari ini.

Peter berkata berikutan keputusan Kementerian, JKR Sabah akan menyelia penuh pelaksanaan kerja pembinaan lebuh raya tersebut.

Mengenai kontraktor yang sudah dilantik melaksanakan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, beliau berkata pembinaan lebuh raya itu mempunyai pakej lama dan baharu.

“Pelaksanaan pakej lama oleh kontraktor lama di fasa akhir dan kita akan teliti sama ada mereka melaksanakan kerja itu mengikut jangka masa yang ditetapkan.

“Jika kerja tidak dilaksanakan dengan baik dan ada cadangan baharu dibuat mungkin perlu mencari kontraktor penyelamat,” katanya.

— BERNAMA  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *