5 Nelayan Vietnam Ditahan Tangkap Gamat Secara Haram Di Kudat

Seramai 5 nelayan Vietnam yang diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kudat, Sabah, semalam

KUDAT, 01 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat sekali lagi berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menangkap Balat secara haram di perairan negara. Mereka ditahan di kedudukan sekitar 18 Batu Nautika Timur Laut dari Pulau Sibongor Laut, Kudat sekitar jam 10.00 pagi kelmarin.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kudat, Leftenan Maritim Musa bin Dail berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pendaftaran bot. 5 awak-awak termasuk tekong warganegara Vietnam berusia dalam lingkungan 29 hingga 39 tahun itu turut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Antara gamat yang dirampas

“Ini merupakan kes ke-sembilan melibatkan tangkapan Balat di Perairan Kudat pada tahun ini. Bot-bot ini menggunakan peralatan yang diharamkan. Nilai rampasan bot dan Balat dianggarkan sebanyak RM600 ribu. Kuantiti Balat yang dirampas dianggarkan seberat 500 kilogram,” jelas beliau.

“Balat merupakan sejenis hidupan laut unik yang dianggap makanan mewah dan berkhasiat. Sabah yang sememangnya kaya dengan Balat, menjadi perhatian para penggemarnya dari seluruh dunia. Permintaan dalam dan luar negara yang tinggi merupakan salah satu faktor yang menarik nelayan-nelayan asing untuk mengaut hasil negara secara haram,” tambah beliau.

“Bot beserta kesemua nelayan Vietnam tersebut ditahan dan diiring ke Jeti Sabah Port Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

“Maritim Malaysia menyeru kepada orang awam terutamanya komuniti maritim untuk bekerjasama dengan pihak penguatkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah atau pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia. Orang awam juga dinasihatkan untuk menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian atau sebarang jenayah di perairan negara,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *