Pemandu Maut, Tiga Parah Dalam Kemalangan Pagi Tadi Di Jalan Beluran-Telupid

Keadaan kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Pembaca

BELURAN: Tiga Penumpang cedera parah manakala pemandu kenderaan maut selepas kenderaan jenis pacuan empat roda terbabas sendiri dalam kemalangan di Kilometer 75, Jalan Beluran -Telupid, dekat Beluran awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi, pemandu kenderaan, Jayacelan R Manickam, 50, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah.

Keadaan mangsa terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Pembaca

Manakala, tiga lelaki tanpa dokumen pengenalan diri dikenali sebagai Surianto Hamid, Zul dan Hamzah, mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, sebelum kejadian kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki semua mangsa dalam perjalanan ke arah Sandakan.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum terbabas ke kanan jalan.

“Pemandu maut di lokasi kejadian dan tiga mangsa parah dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasim berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *