KKR Ambil Alih Seluruh Projek Lebuhraya Pan Borneo Di Sabah Akhir September Ini

Projek Lebuhraya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan. – Foto ihsan LBU

KOTA KINABALU, 29 Jun – Kementerian Kerja Raya (KKR) dijangka mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah menjelang akhir September ini, kata Menterinya Baru Bian.

Beliau berkata KKR akan mengambil alih peranan syarikat rakan penyampai projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo Sabah, selepas jumlah yang seharusnya dibayar kepada syarikat berkenaan ditentukan, dan proses pembayaran selesai dilaksanakan.

Menurutnya pembayaran perlu dibuat mengikut tahap kemajuan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang telah dilaksanakan.

Beliau berkata notis pemberitahuan telah dikeluarkan kepada syarikat PDP untuk memaklumkan bahawa pada masa ini proses menaksir jumlah pembayaran sedang dibuat, dan mereka dibayar berdasarkan kepada kemajuan kerja-kerja pembinaan lebuhraya yang telah dilaksanakan. 

“Mereka (syarikat PDP) kini masih melakukan pelbagai kerja, termasuk memantau serta menyelia pembinaan lebuh raya ini. Bagaimanapun setelah notis itu tamat tempoh dalam bulan September ini, maka selepas itu kami (KKR) akan mengambil alih sepenuhnya projek berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan The Pan Borneo Dashboard Application System di sini, hari ini.

Baru berkata kementeriannya juga memutuskan kerajaan Sabah akan berperanan memantau dan menyelia pelaksanaan pembinaan lebuh raya berkenaan termasuk dalam aspek pemberian tender.

Menurutnya baki 20 lagi pakej di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memandangkan terdapat kekangan daripada aspek belanjawan yang tidak membolehkan ia disenaraikan dalam RMK11 seperti diminta oleh kerajaan negeri.

Sementara itu berhubung Pan Borneo Dashboard Application System, Baru dalam ucapannya berkata sistem yang dibangunkan sektor swasta menerusi pakej kontraktor Pembinaan Kekal Mewah dengan kerjasama rapat pihak kementerian itu, merupakan pusat sehenti platform digital yang digunakan bagi membantu dalam menjayakan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan lebuhraya berkenaan.

Beliau berkata sistem itu akan membolehkan semua maklumat dinamik penting, pemprosesan, data serta fail yang disiarkan secara langsung dari projek itu, dimuatkan ke platform yang lebih simple dan mudah untuk digunakan, yang boleh diakses oleh semua pemegang taruh yang terlibat dengan projek itu.

“Maklumat yang berkaitan dengan pakej kerja seperti kemajuan projek, status bahan, maklumat tanah dan tenaga kerja; dikemaskini secara langsung, yang akan membolehkan pemantauan mengenai kemajuan pakej kerja boleh dibuat oleh kontraktor dan juga semua agensi yang terlibat secara dalam talian,” katanya.

“Sistem Maklumat Global yang mengesan peta lebuh raya pula akan membolehkan pengesanan dan pemantauan pergerakan perolehan serta utiliti tanah, yang merupakan cabaran utama pembinaan lebuh raya. Maklumat terperinci tentang isu tanah seperti medan, pampasan dan dokumentasi boleh diakses menerusi sistem berkenaan,” tambahnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *