15 Tahun Diperlukan Untuk Jadikan Semporna Bandar Terapung – Jaujan

SEMPORNA, 29 Jun – Semporna bakal berubah wajah dalam tempoh 15 tahun melalui pembangunan bandar terapung yang kini sedang giat dirancang, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong. 

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yakin pembangunan itu akan dijalankan tanpa mengabaikan aspek alam sekitar kerana kajian telah dilakukan sebelum projek itu  dilaksanakan.

Menurutnya, sumber kekayaan dimiliki daerah itu termasuk dalam industri pelancongan dan makanan laut akan terus dibangunkan memandangkan potensi itu adalah setaraf dengan kawasan pelancongan lain di dunia.

“Rakyat diharapkan sedia menerima pembangunan ini. Apa dirancang bukan sekelip mata kerana pihak Hatten Group Sdn Bhd. dan konsultan telah menjalankan penyelidikan agar keindahan habitat dan marin biodiversiti tidak terjejas. 

Kita dalam proses perancangan untuk mengubah landskap Semporna ke arah bandar terapung seperti dimaklumkan sebelum ini berikutan daerah ini menerima kemasukan pelancong purata 2,000 orang sehari,” katanya dalam Program Taklimat Pembangunan Semporna di Majlis Daerah Semporna, hari ini. 

Justeru, beliau berkata kemudahan prasarana lebih baik dari segi pengangkutan, penginapan dan kemudahan awam lain termasuk restoran untuk menarik kedatangan pelancong ke sini perlu disediakan.

Pembangunan bandar terapung itu turut dilihat berupaya memberi manfaat besar khususnya mewujudkan ribuan peluang pekerjaan untuk anak muda tempatan di daerah ini, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *