Tuntutan MA63 Boleh Diselesai Cara Baik – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal tidak melihat keperluan untuk membawa tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) di peringkat antarabangsa sebagai penyelesaian terbaik bagi mendapatkan semula hak-hak Sabah.

Beliau berkata, keterbukaan Kerajaan Persekutuan mendengar permintaan Kerajaan Sabah adalah satu petanda yang baik. “Kita ada cara kita. Tidak pernah berlaku dalam pemerintahan dahulu tuntutan kita didengari.

“Namun pimpinan yang ada pada hari ini, walaupun mereka juga pemimpin yang dahulu tapi mereka cuba menyelesaikan permasalahan (tuntutan) yang ada,” katanya ketika ditanya mengenai saranan Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora) Datuk Jelani Hamdan yang mencadangkan tuntuan MA63 dibawa ke PCA jika rundingan dengan Kerajaan Persekutuan gagal.

Mohd Shafie berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diadakan pada bulan depan (Julai) untuk membincangkan pembayaran tunai dan royalti minyak dan gas.

“Perbincangan sebegini jelas menunjukkan keterbukaan Kerajaan Pusat. Jadi apa yang penting kepada kita adalah menyelesaikan secara baik agar tuntutan kita didengari,” ujarnya.

Pada Isnin, Jelani dipetik berkata, Kerajaan Sabah boleh merujuk tuntutan MA63 ke PCA sekiranya rundingan dengan Kerajaan Pusat gagal.

Katanya, memandangkan MA63 adalah perjanjian yang dilakukan di peringkat antarabangsa dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) maka, Sabah berhak merujuk kes itu ke PCA bagi mencari jalan penyelesaian terhadap setiap pelanggaran dalam MA63 oleh Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, beliau melihat ini adalah pilihan terakhir yang boleh digunapakai kerana isu tuntutan dalam MA3 seharusnya boleh diselesaikan melalui perundingan.

Draf Perjanjian Malaysia dilakukan di Parlimen British dan ditandatangani oleh United Kingdom, Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura. Ia juga didaftarkan dibawah PBB.

Pada April lalu, usaha melakukan pindaan dalam Perlembagaan Malaysia bagi memudahkan tuntutan MA63 yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat tidak diluluskan kerana gagal mendapati undian majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *