Rumah Dan Kereta Musnah Dijilat Api, Suami Isteri Tinggal Sehelai Sepinggang

Rumah terbakar, pasangan suami isteri tinggal sehelai sepinggang

TUARAN, 27 Jun – Sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang apabila rumah dua tingkat separuh kekal yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Labuaya Topokon, berhampiran pekan Topokon di sini malam tadi.

Kejadian pada 8.15 malam itu, turut memusnahkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Galant dan motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata sejurus menerima panggilan kecemasan pada 8.20 malam, sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, pemeriksaan pasukan bomba mendapati tiada mangsa terperangkap, manakala rumah berkenaan musnah 90 peratus,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba segera melakukan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal hampir sejam kemudian.

Katanya tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan operasi ditamatkan pukul 10.38 malam.

 — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *