Penerbangan Terus Guangzhou Ke Tawau Bermula Januari 2020

Penerbangan terus Guangzhou ke Tawau mula tahun hadapan

TAWAU, 27 Jun – Penerbangan terus dari Guangzhou, China ke Tawau, Sabah yang sepatutnya bermula Julai ini ditunda pada Januari tahun hadapan.

Pengurus Lapangan Terbang Tawau, Hasbi Mohd Said berkata penundaan itu berlaku atas beberapa faktor antaranya melibatkan proses kelulusan luar negara membabitkan kerajaan dengan  kerajaan.

“Selain, untuk disesuaikan dengan cuti di China dan dimulakan (penerbangan) sewaktu banyak permintaan,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Majlis Mesra Raya Aidilfitri Malaysia Airport di Lapangan Terbang Tawau, di sini hari ini.

Syarikat Penerbangan Hainan yang menggunakan pesawat B737-800 dijadualkan terbang dua kali seminggu dari Guangzhou, China ke Tawau.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial, Malaysia Airports Holdings  Berhad  Mohammad Nazli Abdul Aziz berkata Tawau merupakan pintu utama pelancong untuk percutian pulau di Sabah sama seperti Langkawi, Kedah.

Bagi itu, katanya pendekatan sama untuk pelancongan komersial di Lapangan Terbang Tawau akan dilaksanakan seperti di Langkawi.

“Kita mahu tengok lapangan terbang macam pusat beli-belah, kita merancang untuk membawa masuk jenama-jenama barangan yang menjadi magnet kepada pelancong mahupun penduduk setempat.

“Selain, kita juga jenama tempatan sendiri misalnya makanan tradisional atau barangan tempatan, kita sudah cuba perkara ini di Langkawi dan jual produk tempatan dan bekerjasama dengan usahawan tempatan,” katanya.

Menurutnya kedua-dua elemen itu akan dilaksanakan di Lapangan Terbang Tawau sekali gus menjadikan Tawau sebagai tempat yang bukan sahaja untuk tarikan pelancongan malahan menjadi tumpuan penduduk setempat.

Mohammad Nazli dalam pada itu berkata pihaknya menyediakan dana pelancongan untuk penggiat  industri di Sabah tampil dengan projek yang boleh mempromosikan pelancongan di negeri ini.

“Kalau projek ini nampak kebaikan kita akan sokong dengan dana,” katanya lagi.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *