POLIS MARIN RAMPAS LEBIH 7-RIBU BUNGKUS ROKOK SELUDUP DI LAHAD DATU
LAHAD DATU – 27 JUN 2019 – Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya merampas pelbagai jenis rokok sebanyak 7-ribu 850-bungkus yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dan tidak bercukai dengan nilai anggaran berjumlah 16-ribu 750-ringgit di kawasan Kampung Desa Bajau, Lahad Datu, kelmarin.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, semasa Unit Risikan Marin (URM) sedang membuat tugas risik dan mencari maklumat kawasan berkenaan, pihaknya telah ternampak sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan sekitar tersebut.
Apabila sepasukan Unit Risikan Marin (URM) menghampiri ke kawasan tersebut, sekumpulan lelaki itu melarikan diri ke kawasan sekitar kampung dan menghilangkan diri.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang telah dibuat mendapati terdapat beberapa longgokan bungkusan plastik berwarna hitam berisi pelbagai jenis rokok.
Jelasnya, barang-barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut. Kes tersebut disiasat dibawah Akta Kastam 1967.
Sumber : #BESTAWAUfm