Bot Baharu Menumbok-Labuan Diperkenal, Mampu Jana Ekonomi – Rozman

Rozman memotong riben dalam gimik pelancaran bot baharu sebagai pengangkutan terkini ke Labuan.

LABUAN: Usaha kerajaan dalam membangunkan semula ekonomi Labuan berada di landasan tepat melalui penambahbaikan sistem pengangkutan laut ke pulau bebas cukai berkenaan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, sebuah bot baharu berkapasiti 40 penumpang kini digunakan bagi laluan Labuan-Menumbok-Labuan bermula hari ini yang memberikan lebih banyak pilihan dan keselesaan untuk masyarakat berulang alik ke Labuan.

“Bot dengan kapasiti 40 penumpang untuk setiap perjalanan dan lengkap dengan ciri-ciri keselamatan ini akan mengambil masa kurang dari 30 minit dari kedua-dua wilayah yang dikendalikan oleh Perdana Express.

“Kami berharap lebih ramai pengendali bot akan mengikuti langkah operator ini dalam meningkatkan perkhidmatan pengangkutan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran rasmi bot itu di Terminal Feri Antarabangsa Labuan di sini, hari ini.

Ekonomi Labuan ketika ini agak kurang rancak berbanding ketika era kegemilangannya beberapa tahun lalu kesan daripada industri minyak yang membangun.

Pengguna bot baharu yang lebih canggih dan selamat memberi keselesaan pengunjung dan mampu menaikkan imej Labuan dan membantu pembangunan ekonomi di situ.

Sehubungan itu, kerajaan mengatur pelbagai langkah untuk meningkatkan kembali ekonomi di situ dan salah satu daripadanya ialah melalui sistem pengangkutan terbaik untuk kepuasan pengunjung.

Ketika ini, lebih daripada 100 bot laju gentian kaca yang berlesen beroperasi Labuan-Menumbok-Labuan dan Sipitang-Labuan-Sipitang dengan kapasiti 14-16 penumpang.

Rozman berkata, tepat pada masanya untuk pengendali pengangkutan laut memperkenalkan sistem tiket dalam talian untuk kemudahan penumpang dan pelancong terutamanya yang berada di tanah besar Sabah dan Sarawak untuk ke Labuan.

“Apabila ada bot yang lebih besar yang memberikan keselesaan dengan kerusi penumpang yang direka dengan baik yang menjadikannya mesra penumpang, lebih banyak pelancong akan melawat Labuan secara kerap,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *