UMNO Bakal Diharamkan Hanya Spekulasi – Bung Moktar

Bung bersama AJK Biro Politik dan Strategi Umno Sabah.

KOTA KINABALU: Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin berkata desas desus Umno bakal diharamkan hanya spekulasi.

“Tidak mudah bagi kerajaan hari ini mengharamkan Umno, sebuah organisasi yang telah berakar umbi dan mempunyai sistem pentadbiran yang efisien.

“Jika tindakan kejam ini pun dilakukan oleh kerajaan semangat ahli Umno tidak akan pudar untuk terus berjuang dan kepimpinan Umno sudah tentu mempunyai perancangan untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno Sabah yang turut membincangkan persediaan mesyuarat di peringkat bahagian-bahagian di negeri ini kelmarin.

Menurut beliau kesemua bahagian boleh mengadakan persidangan masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan tanpa sebarang masalah.

Terdahulu, Bung berkata pemimpin dan ahli Umno di semua peringkat perlu berada dalam kedudukan siapsiaga menggerakkan jentera parti walaupun berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran.

Beliau berkata kesiapsagaan ini perlu dimulakan dari sekarang bagi mempastikan kemenangan akan dicapai pada pilihanraya akan datang.

“Semua pimpinan Umno di peringkat akar umbi perlu bergerak dan diaktifkan bermula dari sekarang melalui pelbagai program selain sentiasa peka dengan masalah dan isu semasa yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Sebelum mesyuarat perhubungan, Bung terlebih dahulu mempengerusikan mesyuarat Biro Politik dan Strategi Umno Sabah di Bangunan Umno Sabah pada sebelah siang kelmarin.

Hadir sama Timbalannya Datuk Yakub Khan, Bendahari Umno Sabah Suhaimi Haji Nasir, Ketua Penerangan Datuk Raimi Unggi, Ketua Pergerakan Wanita Datuk Hajah Dr Jainab DSP Ahmad Ayid, Ketua Pergerakan Pemuda Ir .Abdul Aziz Julkarnain dan Ketua Pergerakan Puteri Fadilah Sarbi.

Menurut Bung, pemimpin dan ahli Umno seharusnya mengambil peluang diatas isu isu semasa terutamanya kealpaan kerajaan Pakatan Harapan dan Warisan  di Sabah yang ternyata gagal mengotakan janji mereka termasuklah dalam soal mengurus ekonomi negara dan negeri sehingga memberikan impak yang negatif terhadap kesejahteraan rakyat keseluruhanya.

“Kita perhatikan keadaan ekonomi negara semakin merundum dengan kos sara hidup yang semakin meningkat sehingga membebankan rakyat, peluang ini perlu kita perjelaskan kepada rakyat tentang kegagalan kerajaan yang ada hari ini mengurus pentadbiran dan ekonomi negara dengan baik,” jelas Bung.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *