PPM Tahan Lelaki Pala’u Guna Bom Ikan

Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki kerana memiliki peralatan yang disyaki bahan letupan di kawasan perairan Tanjung Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, semalam. -Foto ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki Pala’u kerana disyaki memiliki peralatan dan bahan letupan di kawasan perairan Tanjung Pantau-pantau, Pulau Bum-Bum dekat sini semalam.

Dalam kejadian 12 tengahari itu, perahu yang dikendalikan suspek berumur 45 tahun yang dipercayai etnik Pala’u itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) di kawasan berkenaan.

Antara peralatan dan bahan-bahan yang disyaki bahan letupan dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) daripada seorang lelaki di kawasan perairan Tanjung Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, semalam. -Foto ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata pemeriksaan dalam ruangan perahu terbabit menemui beberapa peralatan antaranya bahan peledak (detonator), baja ammonia dan botol kaca yang dipercayai digunakan untuk membuat bahan letupan.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku memiliki kemahiran dalam membuat bahan letupan untuk digunakan dalam kegiatan dan aktiviti menangkap ikan.

Antara peralatan dan bahan-bahan yang disyaki bahan letupan dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) daripada seorang lelaki di kawasan perairan Tanjung Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, semalam. – Foto ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Suspek kemudiannya ditangkap bersama barang rampasan termasuk perahu dan satu unit enjin pam dianggarkan berjumlah RM6,563 dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan membuat, memiliki bawah jagaannya bahan letupan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari tujuh tahun atau denda tidak lebih dari RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya komuniti nelayan supaya menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan kerana aktiviti itu bukan saja melanggar undang-undang malah memusnahkan hidupan dan ekosistem di laut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *