266 Bekas Ahli UMNO Libaran Sertai Parti Warisan Sabah

Bekas ketua-ketua cawangan Umno menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Ahmaddun (dua kanan). Turut kelihatan Wong (dua kiri).

SANDAKAN: Seramai 266 bekas ahli Umno Bahagian Libaran dari tiga cawangan keluar parti menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan). 

Kemasukan mereka beramai-ramai menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Timbalan Ketua Warisan Bahagian Libaran Ahmaddun Mohd Nooh dan disaksikan oleh Naib Ketua Warisan Bahagian Libaran Mohammed Mirodin serta Ahli Jawatankuasa Warisan Bahagian Libaran. 

Tiga cawangan itu adalah Kampung Tinusa 2 Jambatan 2, Kampung Tinusa 2 Jambatan 3 dan Tinusa Maju yang mana kesemua cawangan itu di kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Sungai Sibuga dalam Parlimen Libaran.

Menurut salah seorang bekas ketua Umno cawangan itu, Haji Mondus Baharon berkata dia bersama-sama Umno semenjak parti itu mula-mula wujud di Sabah khasnya di kawasan Libaran. 

Beliau mendakwa pernah menjadi ketua Kampung Tinusa 2 selama empat penggal dan pada Selasa dia mengambil keputusan bersama ahli yang lain untuk menyertai Warisan. 

Mondus memberitahu mereka menyertai Warisan disebabkan hilang kepercayaan terhadap parti yang dianggap keramat sebelum ini. 

“Hari ini, kami menaruh kepercayaan kepada Warisan sebagai sebuah parti tempatan yang berwibawa dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya,” katanya. 

Sementara itu, Ahmaddun berkata dengan kemasukan beramai-ramai bekas ahli Umno ke dalam Warisan maka parti Umno di Libaran bertambah lumpuh. 

Beliau juga menyatakan dengan tertubuhnya cawangan baharu itu membuktikan rakyat semakin yakin dan percaya kepada kerajaan yang ada pada hari ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang juga presiden Warisan. 

“Saya ingin mengingatkan semua yang hadir agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah dan cerita orang luar atau daripada sumber yang tidak pasti berkenaan berita yang tidak betul dan tidak sahih,” katanya ketika berucap pada majlis itu. 

Beliau turut memberitahu bahawa Pejabat Parti Warisan Sabah Bahagian Libaran akan mula menjalankan operasinya dalam sedikit masa sahaja lagi. 

Ahmaddun memaklumkan pejabat itu telah pun siap sepenuhnya dan hanya menunggu dirasmikan sahaja. 

Mohammed Mirodin (empat kiri) menerima borang keahlian Warisan daripada pemimpin Cawangan Taman Sejati Ujana.

Pada 11 Jun lepas, dua lagi cawangan berjaya diterima oleh Warisan Bahagian Libaran iaitu iaitu Cawangan Taman Sejati Ujana dari kawasan DUN Sungai Sibuga dan satu cawangan lagi dari Kampung Lung Manis (DUN Gum-Gum). 

Kedua-dua cawangan itu hasil usaha Pemaju Mukim Kawasan Rodino Barredo dan Setiausaha Kerja Warisan Bahagian Libaran Wong Tamin Simad. 

Ia bermakna dalam tempoh kurang dua minggu, sudah lima cawangan baharu telah berjaya diwujudkan oleh pimpinan Warisan Bahagian Libaran, sekali gus bukti kesungguhan dan kerjasama erat dalam kalangan AJK Bahagian Libaran di bawah kepimpinan Ketua Warisan Bahagian Libaran Sahar Saka.

Sumber : Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *