UiTM Tawar Peluang Kedua Kepada Anak-Anak Bumiputra Sabah

Dr. Rozita ketika menjelaskan mengenai MDAB kepada media.

KOTA KINABALU: Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang kini dikenali sebagai Program Pra-Pendidikan Tinggi merupakan peluang kedua kepada anak Bumiputra Sabah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Professor Madya Dr Rozita Mohammed inti pati program ini masih sama iaitu untuk memberi ruang dan peluang kepada mana-mana pelajar yang dikategorikan sebagai B40, M40 dan B20 untuk melanjutkan pelajaran.

Mozailye (dari kiri), Rozita, Norzawiyah, Zamri, Zahimi dan Fauzrina ketika merakam gambar kenangan selepas kunjungan di Wisma Dang Bandang.

“Program ini sangat menepati aspirasi negara, yang mana ia bertujuan untuk mengeluarkan bumiputra Sabah daripada kancah kemiskinan melalui pendidikan, hal ini kerana harta yang paling berharga sekali adalah akademik. 

“Sebagai agen perubahan, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk memberikan ruang dan peluang kepada anak-anak jati Sabah untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi dengan kelayakan yang diperolehi dan hanya di UiTM sahaja yang membuka peluang tersebut. 

“Satu-satunya Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang masih mengekalkan syarat utama iaitu mengambil 100 peratus bumiputra Sabah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi adalah UiTM sahaja. 

“Pelajar boleh memilih sama ada ingin mengambil aliran Sastera ataupun aliran Sains kerana ianya bergantung kepada minat pelajar itu sendiri,” jelasnya pada kunjungan hormat kepada Pengarah Penerangan Sabah (JaPen), Norzawiyah Bulka di Wisma Dang Bandang pada Isnin. 

Dalam pada itu, Penolong Pendaftar Kanan Muhd Zahimi Janai menjelaskan bahawa Program MDAB adalah satu program yang membantu pelajar lepasan SPM yang tidak layak untuk melanjutkan pendidikan di peringkat diploma kerana tidak menepati syarat yang telah di tetapkan dimana mereka perlu mengikuti program pra diploma yang kemudiannya dinaiktaraf ke program diploma.

Terdapat dua aliran yang ditawarkan kepada pelajar, yang pertama aliran Sastera iaitu program pra-diploma perdagangan yang hanya memerlukan 6 bulan pengajian sahaja dan yang kedua aliran Sains iaitu program pra diploma sains yang memerlukan 6 bulan sehingga satu tahun pengajian.

“Syarat untuk memasuki program pra-diploma ini adalah sangat rendah iaitu bagi program Pra Diploma (Perdagangan), mereka perlu lulus SPM dengan minima 3 kredit termasuk Bahasa Melayu dan lulus Matematik atau Matematik Tambahan serta Bahasa Inggeris. 

“Manakala bagi Program Pra Diploma (Sains) pula mereka perlu lulus SPM dengan minima 3 kredit termasuk Bahasa Melayu, Sejarah, kredit Matematik atau Matematik Tambahan dan lulus Bahasa Inggeris serta salah satu mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi atau Sains Tambahan,” katanya. 

Jelas Zahimi lagi, terdapat kekangan yang dihadapi oleh pihak UiTM yang mana mereka masih kekurangan calon untuk memasuki Program Pra Diploma ini.

“Maka dengan adanya jalinan dengan JaPen dapat membantu UiTM dalam mempromosikan program ini supaya seluruh masyarakat di negeri Sabah khususnya di setiap daerah akan mendapat maklumat mengenai peluang melanjutkan pengajian ke UiTM. 

“Saya juga percaya bahawa UiTM adalah satu-satunya IPTA yang menawarkan peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan kos yang paling minima dan kursus yang berkualiti seperti universiti yang lain. 

“Iklan mengenai program ini telah dibuat ke seluruh Sabah, tetapi memandangkan kampus ini terletak di daerah Tawau maka kebanyakkan pelajar adalah berasal daripada sebelah Pantai Timur. 

“Walaubagaimanapun, daripada segi pengambilan adalah terbuka kepada semua anak jati Sabah asalkan melepasi syarat yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan UiTM,” ujarnya. 

Menurutnya juga, terdapat banyak keistimewaan yang diperolehi sekiranya calon memasuki program pra diploma, antaranya adalah diberikan kemudahan asrama percuma, yuran pengajian percuma, elaun sara diri bulanan, bantuan pembangunan diri dan motivasi pelajar, bantuan pembelajaran secara intensif dan bantuan sokongan sama seperti pelajar UiTM yang lain.

Turut hadir pada kunjungan hormat, Ketua Penolong Pengarah Bahagia Media Siber Zamri Abdul Ghani dan Penyelia Program Mohd Mozailye Hj. Moulton. – Utusan Borneo

866