4 Remaja Warga Asing Didakwa Di Mahkamah Majistret Atas Tuduhan Membunuh

Keempat-empat tertuduh dibawa keluar selepas didakwa di Mahkamah Majistret Tawau hari ini. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

EMPAT REMAJA LELAKI WARGA ASING DIDAKWA DI MAHKAMAH MAJISTRET ATAS TUDUHAN MEMBUNUH

TAWAU: Empat remaja lelaki warga asing yang dituduh membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui di dalam longkang, dekat Fajar, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Zul Ocu, 14, Alex Gay Tanonaro, 13, Robinson Jeninson, 19 dan Mohamad Firdaus Abdul Rapid, 14 mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Herlina Muse.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat mereka melakukan kesalahan membunuh seorang lelaki Jaafar Jalman, 49, di Taman Permainan, Jalan Persisiran, dekat sini, antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi, 9 Jun lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Nur Intan Jamrin manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Sabah News Today sebelum ini melaporkan mayat seorang lelaki dengan dua kesan tikaman di bahagian dada dan tengkuk ditemui di dalam longkang di belakang bangunan sebuah premis, di Jalan Bantu, Fajar, 10 Jun lalu. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *