Ramlee Marhaban Desak ESSCOM Distruktur Semula

KOTA KINABALU: Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Bugaya, Datuk Ramlee Marhaban mendesak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) distruktur semula ekoran insiden penculikan nelayan di Lahad Datu pada 18 Jun lalu. 

Beliau berkata, kejadian di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) itu jelas menunjukkan pihak Esscom gagal menjamin keselamatan di kawasan berkenaan daripada aktiviti jenayah khususnya penculikan membabitkan kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Katanya, adalah sesuatu yang memalukan selepas enam tahun Esscom beroperasi kejadian seperti itu masih berlaku yang membayangkan bahawa masih wujud banyak kelemahan kepada pihak berkenaan termasuk kekurangan peruntukan daripada kerajaan.

“Berasaskan kepada kejadian terbaharu penculikan di kawasan Esszone, penstrukturan semula Esscom perlu disegerakan dan menerusi penstrukturan itu, kuasa sepenuhnya perlu diberikan pada pasukan polis, maritim dan pasukan gerak am.

“Mereka ini mempunyai kuasa menangkap, menyiasat dan mendakwa, manakala pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu menyokong dari segi aset keselamatan termasuk radar,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian penculikan 10 nelayan yang merupakan kru dua bot nelayan sama ada di perairan negara atau di perairan antarabangsa. Kejadian dipercayai dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf.

Menurut Ramlee, menerusi penstrukturan semula itu, bidang kuasa masing-masing perlu diselaraskan dengan baik supaya tidak berlaku pertindihan tugas atau bidang kuasa.

“Kelemahan pada Esszone yang sudah beroperasi selama enam tahun bagi mengawal aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan sebagainya. Ini kerana tidak jelasnya bidang kuasa masing-masing. Kelemahan ini yang diambil peluang oleh penjenayah yang sentiasa mencari peluang untuk melakukan jenayah.

“Kita melihat jumlah aset dan anggota keselamatan yang ditempatkan di kawasan Esszone sebenarnya lebih daripada cukup, kelemahan hanya kerana adanya pertindihan kuasa atau tugas.

“Menerusi pertindihan itu, maka secara tidak langsung berlaku seperti kata peribahasa ‘enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’ dan yang menjadi mangsa adalah rakyat serta penduduk tempatan,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai kekurangan peruntukan kewangan yang dikhuatiri boleh menjejaskan penyelenggaraan aset-aset tentera dan Esscom, sekali gus menjejaskan keupayaan kawalan keselamatan.

Bekas Pembantu Menteri Kewangan itu juga menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal agar Esscom distruktur dengan segera, khususnya yang berkaitan ‘chain of command’ bagi mengelak kes penculikan rentas sempadan berulang.

“Kita sudah penat mendengar berbagai alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa setiap kali berlakunya jenayah penculikan di kawasan Esszone. Bukan sedikit perbelanjaan digunakan sejak penubuhan Esscom semata-mata untuk menjaga kawasan itu.

“Wilayah Esszone, bukan sahaja kawasan aktiviti ekonomi akan tetapi wilayah yang ramai penduduk, selain merupakan lokasi tumpuan pelancongan seperti Pulau Sipadan,” katanya.

Beliau berkata, ekoran penculikan berkenaan, rakyat di timur Sabah mempersoalkan jaminan keselamatan mereka meskipun berbagai aset, jumlah anggota keselamatan termasuk disokong oleh persenjataan canggih ditempatkan di kawasan Esszone. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *