Isu Penggunaan Pelekat ‘Serve No Pork’ Di Sabah Belum Ada Kesudahan

Sesetengah restoran bukan islam meletakkan papan tanda ‘serve no pork’.

KOTA KINABALU: Isu penggunaan pelekat ‘Serve No Pork’ di kebanyakan premis makanan milik peniaga bukan Islam di Sabah masih hangat diperkatakan, sama ada tindakan itu perlu dibiarkan atau sebaliknya.

Ada pihak menganggap penggunaan pelekat itu, terutama di restoran makanan laut dan sup ikan sebagai tidak wajar kerana sering disalahtafsir sebagai gantian kepada pensijilan halal bertujuan menarik pelanggan Islam.

Di pihak lain pula, ada beranggapan tindakan itu tidak salah, malah tiada keperluan melarang penggunaan kerana sekadar pemberitahuan bahawa tiada babi dihidangkan di premis terbabit.

Bagi pengusaha restoran sup ikan di Kepayan, di sini, penggunaan pelekat itu bukan untuk menggantikan istilah halal, sebaliknya hanya sebagai pemberitahuan jelas tiada hidangan menggunakan daging bagi di premis berkenaan.

“Kami hanya menjual sup ikan dan hidangan berasaskan makanan laut. Namun, ada ketikanya pelanggan bukan Islam meminta dihidangkan masakan berasaskan daging babi sedangkan kita tidak menyediakan menu itu.

“Maka, untuk memudahkan keadaan dan pemberitahuan yang mesra pelanggan, kita terpaksa memasang pelekat berkenaan dan ini bukan bermaksud menggantikan logo atau sijil halal,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Wong.

Bagi pelanggan Islam yang berkunjung di restorannya, beliau berkata, terserah kepada mereka untuk menyakini sama ada hidangan disediakan benar-benar menepati syarat halal atau sebaliknya.

“Sebagai peniaga, kami menerima sesiapa saja, malah menganggap kehadiran pelanggan pelbagai kaum dan kepercayaan agama sebagai perkara biasa. Di Sabah, kita unik kerana memiliki semangat toleransi dan keharmonian yang tinggi,” katanya.

Seorang pelanggan dari Membakut yang hanya mahu dikenali sebagai Awang, berkata beliau tertarik berkunjung ke restoran sup ikan di Penampang selepas mendapati ramai orang Islam menjadi pelanggan, selain penambilan pekerjanya yang bertudung.

“Mulanya, kita tidak rasa yakin tetapi apabila melihat ramai orang Islam datang dan sebahagian pekerjanya juga bertudung, saya beranggapan makanan di sini halal dan boleh diyakini.

“Bagaimanapun, saya bersetuju jika pihak berkuasa menjalankan pemantauan dan membantu peniaga bukan Islam ini mendapatkan sijil halal bagi menghentikan kekeliruan serta salah faham,” katanya.

Difahamkan, kebanyakan pengusaha premis makanan Islam dan bukan Islam tidak berminat memohon sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disebabkan prosedurnya yang rumit dan mengambil masa lama.

Malah, permohonan juga berkemungkinan tidak diluluskan kerana kebanyakan premis turut menghidangkan alkohol dan difahamkan mereka enggan menghentikannya kerana bimbang mengalami kerugian.

Bagaimanapun, ada juga premis makanan laut dan sup ikan yang tidak menjual minuman keras, namun tidak memohon pensijilan halal kerana sudah biasa dengan pendekatan sedia ada. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *