Belum Ada Keputusan Benarkan Memburu Buaya Di Sabah

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga

Belum ada keputusan benarkan buru buaya di Sabah

Sandakan: Kelulusan bagi memburu dan mengeksport buaya liar hanya boleh ditentukan selepas kajian penuh mengenai populasi buaya di sungai utama di Sabah, termasuk Sungai Kinabatangan diperolehi akhir tahun ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata hasil kajian akan dibentangkan pada persidangan Konvensyen Dagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES) akan datang bagi mendapatkan kelulusan kuota untuk memburu dan mengeksport buaya liar.

Katanya, Sabah masih tiada kuota untuk menangkap dan mengeksport buaya walaupun Malaysia sudah dibenarkan untuk mengurangkan populasi buaya ke Lampiran Dua CITES pada persidangan di Afrika Selatan pada 2017.

“Kebenaran itu cuma untuk Sarawak, manakala bagi Sabah, kebenaran untuk membolehkan kita menangkap dan mengeksport buaya liar hanya boleh dilakukan selepas kajian populasi dibuat, pelan pengurusan disediakan dan kuota jumlah yang boleh diburu ditentukan.

“Ia penting bagi memastikan sebarang tindakan selepas itu tidak menjejaskan populasi buaya di negeri ini,” katanya kepada BH, di sini.

Augustine berkata, buaya di negara ini sebelum ini diletakkan di bawah Lampiran Satu CITES yang mana buaya tidak dibenarkan untuk dieksport ke negara luar.

Di Sabah, katanya, buaya disenaraikan dalam Jadual 2 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan buaya agresif boleh diburu oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah jika reptilia berkenaan dapat dikenalpasti.

“Memburu bermaksud kita boleh menangkap atau menembak mati buaya yang agresif. Kita boleh menangkap buaya sekiranya perlu di kawasan tertentu yang berlaku konflik,” katanya.

Augustine turut menasihatkan penduduk agar mengurangkan aktiviti di sungai yang dikenalpasti menjadi habitat buaya terutama waktu petang.

“Jika boleh elakkan aktiviti di sungai agar tidak terdedah kepada risiko serangan buaya,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *