Maritim Rampas 3 Bot Warga Vietnam, Gamat Bernilai RM1.7 Juta

Nelayan warga asing yang ditangkap. – Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

MARITIM RAMPAS TIGA BOT WARGA VIETNAM, GAMAT BERNILAI RM1.7 JUTA

KUDAT: 14 warga Vietnam berputih mata apabila ditahan Maritim Malaysia Zon Kudat ketika sedang leka menangkap gamat (balat) secara haram di perairan negara. 

Kesemua warga asing itu ditahan di atas tiga buah bot berasingan di kedudukan sekitar 10 batu nautika timur taut dari Pulau Sibongor Laut kira-kira pukul 8.10 pagi, kelmarin.

Antara gamat yang dirampas. – Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

Bot ronda Maritim Malaysia menahan dan memeriksa ketiga-tiga bot terbabit ketika sedang menangkap gamat tidak jauh di antara satu sama lain. 

Hasil pemeriksaan awal mendapati, ketiga-tiga bot terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pendaftaran bot serta mendapati 14 orang termasuk tekong yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 63 tahun warga Vietnam tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. 

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata ia merupakan kes kelapan yang melibatkan tangkapan gamat di perairan Kudat sepanjang tahun. 

Katanya bot-bot seperti itu turut menggunakan peralatan yang diharamkan.

“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1.7 juta dan gamat yang dirampas dianggarkan seberat 2,200 kilogram. Ini merupakan rampasan gamat terbesar yang berjaya dicatatkan bagi Maritim Negeri Sabah setakat ini. 

“Ketiga-tiga bot beserta kesemua nelayan Vietnam tersebut ditahan dan diiring ke Jeti Sabah

Port Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. 

Sementara itu, Maritim Malaysia menyeru kepada orang awam terutamanya komuniti maritim untuk

bekerjasama dengan pihak penguatkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah atau pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Orang awam juga dinasihatkan untuk menghubungi talian Mers 999 atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian atau sebarang jenayah di perairan negara. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *