Fakta Salah Mengenai Dakwaan Pembalakan Kayu Belian Bukit Quoin, Tawau

Gambar Facebook Ghazalie Ansing

TAWAU, 20 Jun – Dakwaan kononnya berlaku aktiviti pembalakan dan pengeluaran kayu belian di kawasan rizab Jabatan Pertanian Bukit Quoin seluas 218 hektar di sini mungkin bermotif jahat untuk menjejaskan nama baik kerajaan Sabah.

Jabatan Perhutanan Sabah dalam satu kenyataan hari ini berkata pengadu yang mengeluarkan dakwaan negatif berkenaan serta disiarkan di sebuah akhbar tempatan itu memberikan fakta yang salah dan tanpa usul periksa.

“Jabatan Perhutanan Sabah ingin mengesahkan bahawa kayu belian yang dimaksudkan dalam laporan tersebut sebenarnya merupakan kayu tumbangan lama yang terkumpul di kawasan tersebut hasil dari pembukaan tanah secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 70-an,” menurut kenyataan itu.

Gambar Facebook Ghazalie Ansing

Kenyataan itu menambah, pemeriksaan Jabatan Perhutanan Sabah bersama Koperasi Pertanian Sabah Berhad yang dilantik oleh Jabatan Pertanian, mendapati tidak ada sebarang kesalahan hutan dilakukan.

Gambar Facebook Ghazalie Ansing

“Mengikut Enakmen Hutan 1968, bagi kawasan tanah bermilik, Jabatan Perhutanan Sabah tidak boleh menghalang pemilik tanah dari mengeluarkan atau menjual balak di kawasan tanah mereka untuk apa-apa tujuan yang difikirkan wajar tertakluk pemohon memenuhi syarat-syarat dan prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan,” kata kenyataan itu.

Gambar Facebook Ghazalie Ansing

Selain itu, kenyataan itu turut berkata pengeluaran dan pemindahan kayu belian berkenaan akan hanya dibenarkan setelah semua syarat-syarat dipenuhi dan cukai serta lain-lain bayaran berkaitan telah dijelaskan kepada kerajaan.

Semalam, Pengarah Komunikasi dan Strategik UMNO Sabah merangkap Pemangku Ketua Bahagian UMNO Tawau, Ghazalie Ansing mendesak kerajaan negeri Sabah serta Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyiasat aktiviti pembalakan dan pengeluaran kayu belian yang dilakukan di rizab Jabatan Pertanian Bukit Quion.

Mengikut tinjauan, Ghazali berkata kira-kira 2000 meter persegi telah dipotong dan menanti masa untuk diangkut keluar.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *