6 Lelaki Warga Asing 2 Warga Tempatan Ditahan Bantu Siasatan Kes Culik 10 Nelayan Di Felda Sahabat

KUALA LUMPUR – Lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes culik 10 nelayan Bajau Laut di perairan Felda Sahabat di Lahad Datu, Sabah, semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata enam daripada lapan individu yang ditahan itu adalah rakyat asing berusia 17 hingga 60 tahun yang terselamat dalam penculikan itu.

“Dua warga tempatan yang ditahan ialah pemilik bot dan pengendali bot,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata bot berkenaan berlayar pada waktu malam di kawasan sempadan perairan negara.

“Sepatutnya mereka (nelayan) harus tahu bahawa kawasan berkenaan adalah kawasan perintah berkurung dan tidak boleh dilalui.

Tidak boleh masuk melainkan mereka memaklumkan secara terperinci kepada pihak berkuasa sebarang kegiatan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Sambutan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi semalam, 10 nelayan berkenaan dilaporkan diculik oleh kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf daripada dua bot nelayan di perairan Lahad Datu ketika dalam perjalanan menuju ke Semporna.

Mereka dipercayai dilarikan ke Pulau Sitangkai di Selatan Filipina, kira-kira 15 minit perjalanan dari perairan Tambisan, Lahad Datu.

Kesemua mangsa berumur 17 hingga 60 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan hanya memiliki Dokumen Lepa-Lepa yang dikeluarkan kepada pelaut nomad sebagai pengenalan diri nelayan berkenaan.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata pemilik dan pengendali bot itu disiasat kerana melindungi kesemua nelayan berkenaan yang merupakan warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Kami (polis) menyiasat kerana dia (pemilik dan pengendali bot) melindungi (warga asing) kerana semua nelayan yang bekerja di bot nelayan itu termasuk yang diculik tiada dokumen sah (pengenalan diri),” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *