Hospital Kota Marudu Antara Tertinggi Guna Bekalan Darah Di Sabah

Gambar Bernama

KOTA MARUDU, 19 Jun – Hospital Kota Marudu merupakan antara hospital di negeri ini yang paling banyak menggunakan bekalan darah iaitu kira-kira 300 pain setiap bulan, kebanyakannya bagi menampung keperluan pesakit talasemia.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata pada masa kini, seramai 128 pesakit talasemia memerlukan darah di hospital itu.

Katanya keperluan ini kritikal jika para penderma  tidak tampil menderma darah secara tetap dan terhenti begitu sahaja.

Justeru, beliau menggalakkan masyarakat agar terus menderma darah secara berterusan demi kesinambungan bekalan darah di hospital kerajaan tidak berkurangan.

“Bekalan darah di seluruh hospital kerajaan kritikal dan bekalan darah diperlukan bagi menangani kes kecemasan seperti kemalangan jalan raya, ibu bersalin dan juga kegunaan pesakit yang memerlukan penambahan darah,” katanya ketika merasmikan Karnival Derma Darah Mega di sini, semalam.

Beliau berkata penganjuran kempen derma darah oleh agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan penting dalam memastikan bekalan darah di hospital mencukupi. 

Sementara itu, pengerusi penganjur karnival itu Dr Nur Nazirah Mohd Saleh berkata program sehari itu merupakan lanjutan daripada program derma darah mega dan sempena memperingati hari penderma darah sedunia.

Katanya sebanyak 352 pain darah berjaya dikumpulkan pada karnival itu berbanding pada penganjuran sama tahun lepas yang mengumpul 320 pain darah.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *