Tiga Cedera Lori 10 Tan Terbabas Lalu Terbakar Di Jalan Kimanis-Keningau

Keadaan lori 10 tan yang membawa muatan sayur-sayuran

PAPAR: Sebuah lori 10 tan membawa muatan sayur-sayuran musnah terbakar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kimanis-Keningau, hari ini.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) Dua, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis Zainal Ali berkata ketika kejadian lori berkenaan terbabas di bahu jalan lalu terbalik sebelum terbakar.

Keadaan lori 10 tan yang membawa muatan sayur-sayuran

Dalam pada itu, tiga orang lelaki turut telibat dalam kemalangan itu.

Namun ketiga-tiga mangsa iaitu Samat Kerama berumur 37 tahun, Mike Kenzie Felix, 15, dan Usriezal Untim, 25, hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mangsa keluar menyelamatkan diri mereka dari lori berkenaan sebelum ketibaan pasukan bomba.

Mangsa turut dihantar ke hospital oleh pihak ambulans.

Sementara itu, BBP Kimanis menerima panggilan kecemasan berkenaan pada pukul 12.22 tengah hari dan menggegaskan seramai tujuh anggota bersama Zainal ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba seterusnya bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos reel sumber air dari tangki jentera dan melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi.

Operasi terkawal pada pukul 1.06 petang dan ditamatkan sepenuhnya empat minit kemudian.

Anggota bomba turut membantu membersihkan jalanraya yang dipenuhi dengan sayur-sayuran.

Jumlah kerugian masih dalam siasatan. -SabahNewsToday

Keadaan lori 10 tan yang membawa muatan sayur-sayuran
Keadaan lori 10 tan yang membawa muatan sayur-sayuran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *