‘Dilahirkan Pada Hari Raya Aidiladha, Meninggal Pada Hari Raya Aidilfitri’

Nuryarifah Adha Diiandra meninggal dunia akibat kesan haba selepas terperangkap dalam kenderaan hampir tiga jam. Foto Ihsan Facebook Effarizan Asim

LAHAD DATU: ‘Dilahirkan Pada Hari Raya Aidiladha, Meninggal Pada Hari Raya Aidilfitri’, Anak syurgaku’, luah Effarizan Asim, 31, di facebooknya ibu kepada kanak-kanak malang yang maut selepas ditinggalkan dalam kereta di Taman Aman, Lahad Datu, Rabu lalu.

‘Hari mendatang ibu sudah berbeza’

“Kereta yang digunakan hari itu saya pinjam daripada rakan, anak saya tidak biasa dengan kenderaan berkenaan.

“Biasanya kalau kereta kami sendiri, anak saya tahu keluar (dari kenderaan),”

Dalam kejadian 4.35 petang itu, Nursyarifah Adha Diiandra Abdul Mutralib meninggal dunia akibat kesan haba selepas terperangkap dalam kenderaan hampir tiga jam.

Effarizan berkata, sehingga kini dia masih terkesan dengan kehilangan anak bongsu berusia dua tahun itu yang disifatkannya sebagai anak manja.

“Sehingga kini saya rindu dengannya dan bagi saya, hari saya sudah berbeza dengan hari sebelumnya.

“Masih terbayang lagi di mata, dia sering mengikut saya ke mana-mana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku dan menganggap ia adalah ujian kepada mereka sekeluarga.

Mengimbas semula kejadian hari itu, Effarizan berkata, dia memandu kereta rakan untuk menjemput dua lagi anaknya di sekolah.

“Kereta yang saya guna Proton Saga FLX dan itu kali pertama saya menggunakannya.

“Kalau kereta kami, anak saya biasa keluar masuk dan tahu buka pintu kenderaan tetapi mungkin hari kejadian dia tidak tahu bagaimana mahu keluar dari kenderaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Effarizan berkata, dia sudah tidak ambil kisah dengan komen netizen yang mempersoalkan kecuaiannya.

“Saya tidak dapat luahkan hal lain, terutama sekali bila terfikir keadaan arwah yang meninggal seperti itu.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu meneruskan kehidupan dengan perasaan bersalah ini, cuma berharap masyarakat di luar sana dapat mendoakan yang terbaik untuk kami sekeluarga supaya mampu melalui dugaan itu,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *