Kerajaan Negeri Sabah Hargai Jasa Bekas Polis

Ewon (kanan) bersama Hussin Awang Ngah (kiri) menyerahkan kerusi roda kepada salah seorang pesara polis selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBPM Sabah Tahun 2019/2020. – Gambar Ewon Benedick

Kota Kinabalu, 15 Jun – Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menghargai segala jasa, pengorbanan, semangat dan komitmen tinggi dicurahkan bekas anggota polis dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara dan negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah percaya bekas anggota polis khususnya di negeri ini akan terus membulatkan tekad, komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan demi pembangunan untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Beliau turut menyarankan supaya lebih ramai pesara polis Sabah menyertai Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) bagi memudahkan interaksi selain dapat merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti persatuan sekali gus mengeratkan lagi hubungan persahabatan sesama anggota.

“Kecemerlangan sesebuah persatuan bergantung kepada sokongan dan kerjasama semua pihak khususnya ahli persatuan itu sendiri.

“Saya optimis, dengan kemahiran dan pengalaman luas (bekas polis sebagai ahli persatuan), ia boleh dimanfaatkan bagi membantu kerajaan membangunkan negeri seterusnya menjayakan pelbagai dasar dan agenda pembangunan,” katanya berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PBPM Sabah di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedict.

Turut hadir Presiden PBPM Hussin Awang Ngah dan Naib Presiden PBPM Awang Kassim Awang Gemok yang juga Pengerusi PBPM Sabah.

Mohd Shafie berkata PBPM diharap mampu mencetuskan kesedaran dan penglibatan bekas polis untuk terus mengamalkan semangat berpersatuan bagi menjayakan pelbagai agenda demi kesejahteraan bekas polis secara keseluruhannya.

“Saya juga ingin berpesan kepada pengerusi negeri bersama jawatankuasa tertinggi supaya sentiasa menjaga kebajikan ahli persatuan dan keluarga mereka termasuk balu-balu bekas polis serta anak-anak yatim. Kerajaan negeri akan membantu apa-apa  diperlukan oleh persatuan ini,” katanya.

Setakat ini, PBPM Sabah mempunyai kira-kira 5,000 anggota dengan 14 cawangan berdaftar secara sah dan lima cawangan dalam penajaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *