Haziq Aziz Bebas Dengan Jaminan Polis

Haziq (kiri) dibebaskan dengan jaminan polis di IPD Dang Wangi hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, dibebaskan dengan jaminan polis pada 5.45 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad berkata, Haziq dibebaskan dengan seorang penjamin.

Sementara itu, peguam Haziq, S Ramesh berkata, Haziq tidak mahu diganggu dan masih belum bersedia untuk bertemu media.

“Haziq memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan ke atasnya.

“Dia ceria dan tiada sebarang masalah. Haziq tidak mempunyai sebarang halangan untuk ke luar negara,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hari ini Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada sidang media di Kangar, Perlis, memberitahu Haziq akan dibebaskan dengan jaminan polis petang ini namun akan dipanggil pada bila-bila masa jika perlu.

Pagi tadi, Haziq dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan doktor.

Semalam Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Haziq ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ketika berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk berlepas ke Manila, Filipina.

Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya adalah individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum ini Haziq sudah digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *