Rokok Elektronik Lebih Berbahaya Berbanding Rokok?

Kerajaan belum bercadang mengharamkan penjualan rokok elektronik dan vape di negara ini, sebaliknya akan meningkatkan kawalan serta pemantauan bagi mengekang risiko pelbagai masalah kesihatan yang mungkin timbul akibat penggunaan produk itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kerajaan sudah mengambil langkah proaktif berhubung perkara itu dengan merangka rang undang-undang merangkumi kawalan terhadap rokok elektronik dan vape yang dijangka dibentang di Parlimen, selewat-lewatnya tahun depan.

Keputusan sama ada penjualan dan penggunaan rokok elektronik dan vape akan diharamkan di negara ini bergantung kepada keputusan kajian sedang dilakukan termasuk mengambil kira keperluan dan situasi semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), semalam, yang menggesa kerajaan segera mengharamkan penjualan vape dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja.

Gesaan itu dibuat berikutan kandungan cecair vape dipercayai dicampur dadah dan banyak pihak beranggapan vape hanya mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan serta tanpa tar yang menjadi punca kanser.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Dr Zubaidi Ahmad berkata, kandungan nikotin dalam rokok elektronik atau vape adalah kira-kira dua atau tiga kali ganda lebih daripada kandungan nikotin dalam rokok.

“Sebagai contoh, dalam sebatang rokok ada lebih kurang dua ke tiga miligram (mg) nikotin tetapi vape mungkin mengandungi empat hingga 12 mg nikotin. Kandungan nikotin berlebihan ini akan menjejaskan kesihatan penghisapnya.

“Apa yang menjadi kebimbangan ialah vape juga dikhuatiri turut dicampur nikotin yang juga bahan kimia berbahaya menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar, ulser perut dan usus,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Muhammad Sha’ani Abdullah mencadangkan kerajaan segera mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape yang mengandungi nikotin.

“Individu yang menghisap vape (bernikotin) bukan sahaja terdedah kepada penyakit kanser, malah beberapa penyakit berbahaya lain yang boleh menjejaskan kesihatan berikutan kandungan cecair vape tidak jelas dan tiada bukti penggunaannya adalah selamat,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *