Penemuan Terbaharu Insiden Tembakan Pesawat MH17

Pegawai penyiasat menyiasat lokasi nahas pesawat MH17 di Hrabove. – Foto Reuters

Amsterdam: Penyiasat antarabangsa yang mengendalikan kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh, semalam, memaklumkan mereka akan membentangkan penemuan terbaharu, minggu depan.

Keluarga mangsa dan media dijangka akan diberikan taklimat mengenai perkembangan siasatan, pada 19 Jun ini, menurut kenyataan pendakwa raya.

MH17 ditembak di atas ruang udara wilayah yang dikuasai angkatan pemisah pro Russia di timur Ukraine, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sehingga mengorbankan semua 298 kru dan penumpang.

Kira-kira dua per tiga penumpang adalah warga Belanda. Pihak berkuasa di Belanda enggan memberikan butiran lanjut, namun stesen penyiaran kerajaan Belanda, NOS, semalam, melaporkan penyiasat mahu mendedahkan identiti suspek.

Pasukan Siasatan Bersama yang cuba mencari suspek mengikut undang-undang Belanda itu sudah membuktikan bahawa sistem peluru berpandu berasal daripada Briged Anti Pesawat ke-53 Russia yang berpangkalan di bandar Kursk, Russia.

Penyiasat berkata, langkah mereka yang seterusnya adalah mengenalpasti suspek individu dan cuba membicarakan mereka. Beberapa pegawai Belanda memaklumkan Russia enggan bekerjasama.

Ia dijangka tidak akan menyerahkan mana-mana suspek berpotensi yang mungkin berada dalam wilayahnya. Pasukan Siasatan Bersatu itu ditubuhkan pada 2014 oleh Australia, Belgium, Malaysia, belanda dan Ukraine untuk menjalankan siasatan secara bersama.

Belanda dan Australia yang menyaksikan 38 rakyat terkorban akan memastikan Russia bertanggungjawab mengikut undang-undang secara kewangan atau peralatan membabitkan pemberontak pro Russia yang memerangi tentera kerajaan Ukraine. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *