Lepas Gian Seks, Pemuda Curi, Cium Coli Wanita

Suspek ditahan di hadapan sebuah rumah bersama coli wanita oleh penduduk. – Foto Kandau Sidi

Miri: Hanya untuk melepaskan ketagihan seks, seorang pemuda sanggup mencuri pakaian dalam wanita di sebuah taman perumahan di Senadin, di sini sebelum berjaya dicekup semalam.

Suspek berusia 23 tahun ditahan di hadapan sebuah rumah bersama coli wanita oleh penduduk yang menyedari kehadirannya yang agak mencurigakan di kawasan terbabit.

Ketua Sukarelawan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Miri, Malateh Mohamad, berkata penahanan lelaki terbabit merungkai misteri misteri kehilangan banyak pakaian dalam wanita di beberapa kawasan kejiranan di sekitar bandar raya ini.

“Pemeriksaan lanjut di rumah lelaki berkenaan kemudian membawa kepada penemuan sejumlah pakaian dalam wanita.

“Kebiasaanya, suspek yang bergerak menaiki basikal mencuri baju dalam dan seluar dalam wanita yang dijemur di ampaian atau di luar rumah oleh pemiliknya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, namun lelaki itu dibebaskan selepas diberi amaran keras agar tidak mengulangi perbuatan peliknya.

Difahamkan, kebanyakan penduduk menganggap kejadian itu sebagai kes terpencil dan tidak membuat sebarang laporan mengenai kehilangan harta benda seperti itu.

“Malah, mereka malu untuk membuat laporan jika kehilangan hanya membabitkan pakaian seperti baju dalam wanita sebagaimana yang berlaku di Senadin,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *