Kerajaan Negeri Sabah Perlu Keluar Peruntukan Sendiri Bina PPRT

Ewon ketika berucap semasa majlis sambutan Aidilfitri daerah Kota Belud di sini malam tadi.

KOTA KINABALU, 14 Jun – Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah telah menghantar cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk mengadakan bajet sendiri di bawah kerajaan negeri bagi membina lebih banyak rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata terdapat keperluan untuk kerajaan Sabah mengeluarkan peruntukan sendiri kerana banyak lagi kawasan khususnya pedalaman memerlukan PPRT.

Katanya setakat ini pelaksanaan PPRT di Sabah terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan persekutuan dan ia tidak mencukupi.

“Pada tahun ini, hanya 445 unit bina baharu rumah PPRT dan 1,740 baik pulih yang diperuntukkan di Sabah, selepas melawat banyak kampung khususnya kawasan pedalaman, saya dapati banyak lagi keperluan untuk membina rumah PPRT.

“Oleh itu saya melihat ada keperluan untuk kita mengadakan bajet sendiri di bawah kerajaan negeri untuk melaksanakan program berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri daerah Kota Belud di sini malam tadi.

Ewon berkata pihaknya berharap Kementerian Kewangan khususnya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dapat mempertimbang cadangan berkenaan.

“Saya difahamkan respons daripada Ketua Menteri Sabah sangat positif dan akan mengadakan  perbincangan dengan pihak kementerian saya untuk memperincikan perkara berkenaan…oleh itu saya berharap ia dapat dimasukkan dalam Belanjawan Sabah 2020,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *