Henti Sebar Komen Berbau Perkauman – Pesuruhjaya Polis Sabah

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah

Henti sebar komen berbau perkauman: Omar

Kota Kinabalu: Polis menasihati pengguna media sosial agar menghentikan penyebaran komen berbau perkauman yang boleh mengundang kepada pergaduhan serta keadaan huru hara di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata keadaan itu juga boleh menyumbang kepada kejadian jenayah berikutan timbulnya hasutan serta rasa kebencian terhadap warga asing.

“Sebagai contoh, kebanyakan kejadian jenayah baru-baru ini terjadi ekoran hasutan berbau perkauman yang dilontarkan pengguna media sosial sehingga menimbulkan kebencian orang awam terhadap warga asing.

“Kejadian ini melarat sehingga orang awam bertindak membakar kereta milik warga asing di Petagas selepas kes pukul yang berlaku baru-baru ini,” katanya.

Tambahnya polis masih mengesan pelaku yang terlibat dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mengkhianat.

Oleh itu, katanya, pengguna media sosial yang didapati mengeluarkan komen berbau perkauman yang boleh mengundang ketegangan dalam masyarakat akan ditahan dan disiasat.

“Kita kini sedang memantau pengguna media sosial serta kumpulan-kumpulan yang berpotensi mewujudkan kebencian kepada kaum lain.

“Beberapa pengguna media sosial sudah dikenal pasti bagaimanapun belum ada tangkapan dibuat setakat ini,” katanya.

Katanya mana-mana pengguna yang didapati melakukan kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *