Bayaran Keropok Punca Pergaduhan Hingga Menyebabkan Kematian Di Sebuah Kedai Runcit Di Kampung Petagas

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu hari ini. – Foto Edmund Samunting

Bayaran keropok punca pergaduhan

Kota Kinabalu: Salah faham mengenai bayaran keropok dikenalpasti punca pergaduhan hingga menyebabkan kematian di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Petagas, Putatan, di sini hingga menyebabkan satu kematian, Isnin lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata hasil siasatan mendapati anak mangsa bersama cucunya yang berusia 6 tahun pergi ke kedai runcit milik dua suspek warga Pakistan itu untuk membeli keropok.

Katanya, selepas membayar dua keropok bernilai RM4.50 kepada suspek pertama dan terus beredar pulang, namun ketika dalam perjalanan, mereka menyedari keropok berkenaan tidak mencukupi dan kembali semula ke kedai sama.

“Mangsa membeli sebungkus lagi keropok dan memasukkan keropok itu ke dalam plastik sama, namun pembayaran dibuat kepada suspek kedua.

“Bagaimanapun, ketika keluar daripada kedai, suspek pertama tersalah faham dan menyangka mangsa mencuri keropok itu. Akibatnya, tercetus pergaduhan antara mangsa dan kedua-dua suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, Abdul Shukur Abdullah, 57, meninggal dunia akibat kecederaan teruk dialaminya selepas dibelasah dua lelaki warga asing di hadapan sebuah kedai runcit.

Malah, anak lelakinya yang berusia 31 tahun patah kaki dan tangan selepas dibelasah kedua-dua suspek.

Omar ketika mengulas lanjut, berkata menyedari kejadian itu, mangsa terus bergegas ke lokasi kejadian untuk meleraikan pergaduhan, namun keadaan menjadi semakin tidak terkawal dan mangsa turut dibelasah.

Katanya, sebaik pergaduhan berjaya dileraikan, Abdul Shukur yang parah dihantar ke di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas mendapatkan rawatan.

Omar turut mengesahkan susulan insiden pergaduhan itu, sebuah kereta jenis Proton Saga milik suspek kedua turut dibakar, namun polis masih menyiasat individu yang terbabit.

“Kedua-dua suspek warga Pakistan berusia 44 dan 30 tahun itu sudah direman sehingga esok untuk membantu siasatan. Kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh kini dipindah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaaan kerana membunuh.

“Mengikut laporan pihak hospital, punca kematian mangsa disahkan akibat pendarahan ‘Subarachnoid’ otak akibat trauma pada leher. Polis turut menyiasat insiden kebakaran kereta milik suspek mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan api,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *