PGA Rampas Rokok Seludup Bernilai RM464,800 Di RCP Kalabakan

Antara rokok yang dirampas PGA di RCP Jalan Tawau-Kalabakan, semalam.

KALABAKAN, 12 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 di sini menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok pelbagai jenama selepas penahanan dua lelaki tempatan di kawasan pemeriksaan daratan (RCP) di Jalan Tawau-Kalabakan, semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk DCP Hazani Ghazali berkata dua lelaki berusia 20 dan 42 tahun itu ditahan anggota PGA yang sedang bertugas di RCP Kalabakan antara pukul 3 hingga 4 petang.

Antara rokok yang dirampas PGA di RCP Jalan Tawau-Kalabakan, semalam.

“Ketika kejadian, sepasukan anggota PGA yang sedang melakukan tugas rutin didatangi dua van dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau dan mahu menghala ke Keningau.

“Pemeriksaan terhadap kedua-dua van menemukan 7,620 karton rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM464,800 dan dipercayai tidak mempunyai kelulusan cukai kastam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara van yang digunakan untuk menjalankan aktiviti penyeludupan rokok

Hazani berkata, rokok yang ditemui itu disyaki diseludup dari negara jiran untuk pasaran daerah Keningau.

Antara van yang digunakan untuk menjalankan aktiviti penyeludupan rokok

“Tangkapan serta barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Menurutnya, dua van jenis Hiace bernilai RM140,000 yang digunakan oleh kedua-dua suspek untuk kegiatan menyeludup turut dirampas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *