Pengerak Awal BERSATU Keluar Parti, Tidak Setuju Lantikan Hajiji

Thomas bersama sebahagian ketua-ketua bahagian istihar keluar parti PPBM.

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang baru ditubuhkan kini bergolak selepas beberapa pemimpin terawalnya yang merupakan penggerak utama membawa parti itu ke Sabah mengisytiharkan keluar parti.

Datuk Thomas Mojuga Tukung yang merupakan antara tulang belakang penubuhan Bersatu Sabah berkata, tindakan beliau dan 260 pemimpin lain termasuk ketua bahagian, pemimpin Armada dan Srikandi meninggalkan Bersatu adalah disebabkan tidak bersetuju dengan pelantikan bekas ADUN UMNO, Datuk Hajiji Noor sebagai Penyelaras Bersatu Sabah.

Katanya, berikutan itu, kesemua pemimpin berkenaan mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) kerana percaya kepada kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal merangkap Ketua Menteri Sabah.

“Kami adalah penggerak pertama Bersatu masuk ke Sabah yang berpusat di Pulai, Johor Baharu menerusi Ketua Bahagian Yacob Atan.

THOMAS MOJUGA TUKUNG

“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kami telah bergerak dan berkerja keras untuk menumbangkan parti Barisan Nasional (BN) malah sehingga kini saya sendiri telah berjaya mendaftar 18,000 ahli di Kudat.

“Kepimpinan Bersatu telah berjanji tidak akan menerima ahli UMNO dan berikan jawatan tetapi keputusan itu menikam di belakang pemimpin yang sedia ada, malah bekas ahli UMNO pula yang dilantik menerajui Bersatu Sabah,” kata Thomas dalam sidang akhbar hari ini.

Thomas berkata, mereka turut kecewa selepas Bersatu Sabah menyisihkan pemimpin yang selama ini bekerja keras untuk parti itu iaitu Datuk Sahran Untai apabila beliau langsung tidak dipilih menjawat apa-apa jawatan.

“Dengan ini kami kesemua pemimpin bahagian, Srikandi, Armada dan ahli-ahli bahagian yang terdiri daripada 260 orang amat kesal dengan keputusan daripada Bersatu Pusat, bertindak keluar dari PPBM.

MARIANIE SULAIMAN

“Kami sebulat suara menyertai Warisan pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal demi memantapkan kerajaan Sabah yang dipimpin oleh anak watan Sabah dan parti tempatan,” katanya.

Menurut Thomas, kira-kira 20,000 ahli Bersatu turut mengambil langkah meninggalkan parti itu dan menyertai Warisan.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin penggerak awal Bersatu Sabah, Marianie Sulaiman berkata, beliau meninggalkan parti kerana melihat seolah-olah perjuangan mereka tidak diterima sebaliknya hanya bekas-bekas pemimpin UMNO yang dilantik menjawat jawatan.

“Kita masuk Bersatu pada awalnya siap berjuang serta membantu berkempen untuk parti Warisan disebabkan Bersatu belum melebarkan sayapnya, kami telah berteduh di bahagian Pulai semasa proses Bersatu masuk ke Sabah.

“Kami menyertai Bersatu kerana berjuang dengan penuh komitmen dan berkorban demi memastikan BN kalah, amat mengecewakan kami mengharapkan perubahan kerajaan dan pemimpin pemimpin muka baru tapi pelantikan itu hanya menukar baju, lantikan baru ditaja oleh UMNO,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *