Pengaruh Drama TV Punca Dua Budak Kecil Lari Dari Rumah

Gambar Hiasan

LAHAD DATU: Terpengaruh drama di televisyen disyaki punca dua kanak-kanak lelaki melarikan diri dari rumah selama hampir tujuh jam dalam kejadian di Kampung Teck Guan, dekat Lahad Datu, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Afiq Abdullah, 9, dan adiknya Mohd Haikal, 7, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 6.30 petang di kebun kelapa sawit berhampiran.

Sebelum itu, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, dua beradik itu bertindak melompat keluar dari tingkap rumah bersama beg berisi pakaian sebelum melarikan diri ke kawasan kebun kelapa sawit.

Menurut ibu saudara kanak-kanak itu, Mariam Sanang, 20-an, sebelum kejadian mereka semua berada di rumah sebelum disedari hilang pada tengah hari.

“Ada jiran ternampak mereka berdua melalui belakang rumah sambil membawa beg dan kami kemudian mencari mereka tetapi gagal ditemui.

“Usaha mencari diteruskan termasuk memaklumkan kepada orang ramai di laman sosial berhubung kehilangan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, usaha pencarian berakhir selepas kedua-duanya ditemui dalam keadaan selamat dan punca mereka melarikan diri adalah disebabkan pengaruh drama di televisyen.

“Saya ada bertanya mengapa mereka kenapa berbuat demikian sedangkan saya tidak pernah memukul atau memarahi mereka dengan teruk tetapi mereka tidak memberitahu sebabnya.

“Bagaimanapun, selepas ibu saya bertanya kepada mereka, mereka akhirnya mengaku hanya terikut-ikut cerita drama di televisyen dan ketika penduduk kampung mencari, mereka bertindak mengelak dan melarikan diri supaya tidak ditemui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor ketika dihubungi berkata, tiada laporan rasmi diterima berhubung kejadian itu namun dia dimaklumkan bahawa dua kanak-kanak itu sudah ditemui dengan selamat. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *