Harga Barangan Sebelum Dan Selepas Perayaan Tidak Berubah

KOTA KINABALU, 12 Jun – Selepas lebih seminggu sambutan Hari Raya Aidilfitri, harga barangan keperluan di negeri ini dilihat masih terkawal malah tiada kenaikan meskipun sebelum sambutan perayaan.

Tinjauan Bernama di Pasar Besar Kota Kinabalu mendapati harga bagi barangan basah seperti daging ayam dan daging lembu masih terkawal seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Hakimi berkata mereka tidak boleh menaikkan harga sewenangnya-wenangnya kerana barangan itu telah ditetapkan seperti yang tercatat pada tanda merah jambu.

“Di sini ada harga yang sudah ditetapkan dan kami tidak boleh menaikkan harga lagipun harga sebelum perayaan pun tetap sama juga,” katanya sambil menunjukkan tanda harga warna merah jambu yang terdapat di premis itu.

Misnah Manaf, 46, yang menjual sayuran juga berkata setakat ini tiada kenaikan harga bagi barangan terutama yang diletakkan dibawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa bagi 27 barangan keperluan menjelang perayaan yang mula berkuat kuasa pada 21 Mei lepas dan berakhir pada 19 Jun ini.

Sementara seorang pengguna Fatihah Abdullah, 39, pekerja swasta berkata harga yang ditetapkan itu amat berpatutan dan berharap tiada kenaikan harga meskipun selepas tempoh kawalan harga berakhir.

Ibu kepada tiga cahayamata itu berkata dengan harga berpatutan itu akan dapat meringankan beban terutama bagi mereka yang ingin mengadakan rumah terbuka sepanjang tempoh sebulan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *