Penemuan Mayat Di Longkang, Polis Tawau Tahan 4 Suspek

Foto BESTAWAUfm

TAWAU: Mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh ditemui dalam longkang berhampiran tempat letak kereta sebuah premis kelengkapan rumah di Jalan Bantu, Fajar, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Pemangku Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata penemuan mayat berkenaan dimaklumkan seorang lelaki yang menghubungi polis pada jam 5 petang.

Foto BESTAWAUfm

Bertindak atas maklumat itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang yang dipenuhi dengan semak samun.

Foto BESTAWAUfm

“Pemeriksaan awal pada fizikal mangsa mendapati ada dua kesan luka tikaman pada bahagian dada sebelah kanan dan bahagian tengkuk sebelah kiri.

“Polis turut menemui sebatang pemutar skru dan sebilah pisau berhampiran tempat mayat mangsa ditemui dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Foto BESTAWAUfm

Beliau berkata, tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa namun ia dicam oleh ahli keluarga iaitu isteri mangsa.

Katanya, berdasarkan keterangan isteri mangsa, lelaki itu keluar rumah seorang diri untuk bersiar-siar selepas menutup warung mereka di Kampung Titingan pada jam 12.45 tengah malam kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang keluar dengan memandu kenderaan jenis Proton Wira berwarna merah gelap tidak pulang ke rumah sehingga mayatnya ditemui petang semalam.

Sementara itu, Peter mengesahkan sekurang-kurangnya empat suspek ditahan setakat ini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan berkenaan.

“Motif kejadian belum diketahui dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *