Kapal Pelayaran Pelancongan Berpotensi Diwujudkan Di Daerah Semporna

Manis Muka (enam kanan) dan rombongan bergambar kenangan bersama Jack di hadapan kapal pelayaran North Borneo Cruise.

KOTA KINABALU: Kapal pelayaran pelancongan sangat berpotensi untuk diwujudkan di daerah Semporna yang memang terkenal dengan kawasan penyelaman serta panorama pulau-pulau cantik dan menarik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya Datin Manis Muka Haji Mohd Darah berkata, kewujudan kapal persiaran pelancongan seperti North Borneo Cruise di daerah itu mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara, dan berupaya dijadikan pilihan pelancong untuk menikmati panorama indah Semporna serta pesisir pulau-pulau di daerah berkenaan.

Jack (kanan) sebelum memberikan penerangan kepada Manis Muka (tiga kiri) dan rombongan di dalam North Borneo Cruise.

Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan ke kapal pelayaran North Borneo Cruise di Sutera Marina Jeti, di sini pada Isnin. Turut hadir ialah suami beliau Datuk Haji Sabardin Ombrah dan rombongan seramai 10 orang.

Katanya, sebagai salah satu destinasi pelancongan bertaraf dunia, kewujudan kapal pelayaran seperti North Borneo Cruise di Semporna pastinya akan dapat menawarkan perkhidmatan tambahan kepada pelancong yang berkunjung ke daerah itu.

“Dengan keindahan panorama matahari terbenam yang cantik di sini, selain ia dikelilingi oleh pulau-pulau yang begitu terkenal seperti Mabul, Sipadan, Bohey Dulang, Kapalai, Mataking, Pom Pom, Bum Bum, Sibuan, Bodgaya dan Timba-Timba, sudah pasti akan lebih menonjolkan lagi nama Semporna di mata dunia dengan kewujudan sebuah kapal pelayaran seperti North Borneo Cruise,” katanya.

Perkhidmatan kapal pelayaran pelancongan seperti North Borneo Cruise dijangka akan diwujudkan di Semporna.

Pada lawatan itu, Manis Muka dan rombongan telah disambut oleh wakil North Borneo Cruise Jack Chua dan turut diberi penerangan mengenai perkhidmatan kapal pelayaran berkenaan.

Mereka juga diberi kesempatan merasai sendiri pelayaran selama dua jam menyusuri sepanjang Waterfront Bandaraya Kota Kinabalu dan menikmati suasana senja di atas kapal pelayaran North Borneo Cruise.

North Borneo Cruise yang memulakan perkhidmatannya sejak dua tahun lalu merupakan sebuah kapal persiaran mewah yang lengkap dengan restoran menawarkan dua perjalanan iaitu Sunset Dinner Cruise bermula 4.50 petang – 7 malam dan KK City Night Dinner Cruise bermula 7.50 – 10 malam dengan sajian masakan halal ala bufet.

Menurut Jack, sejak North Borneo Cruise diwujudkan di sini, ia telah menarik kehadiran ramai pelancong dari dalam dan luar negara terutama dari Eropah, Korea, Jepun dan China. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *