Dituduh Membunuh Pemandu Grab, Dua Pencuci Kereta Hadapi Hukuman Mati

KOTA KINABALU: Dua pekerja cuci kereta didakwa di Mahkamah Majistret di Tuaran, Sabah kerana membunuh seorang pemandu Grab warga tempatan di Kota Kinabalu, bulan lalu.

Seorang lelaki warga tempatan, Amru Al Asy Japri, 24, dan seorang warga Filipina, Arsit Indanan, 20, dituduh membunuh Mohammad Hanafiee Jaffar, 27, di dalam kereta Proton Saga FLX di tepi Jalan Marabahai di Tuaran, antara pukul 4 pagi hingga 5 pagi 25 Mei lalu.

Tiada rayuan direkodkan daripada kedua-duanya selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret, Jessica Ombou Kakayun.

Mahkamah menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan semula kes di Tuaran dan memerintahkan kedua-dua mereka untuk ditahan reman kerana tiada peruntukan untuk jaminan bagi tuduhan yang membawa hukuman mati mandatori.

Kakayun meminta peguam Amru memberi bukti bahawa anak guamnya sebelum ini menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bukit Padang di Kota Kinabalu sebelum ini.

Ia berikutan peguam Amru memohon agar anak guamnya dirujuk ke hospital mental di Bukit Padang untuk pemeriksaan.

Menurut Kakayun, ini adalah untuk memastikan sama ada pelanggannya boleh membuat rayuan.

Majistret itu memberitahu bahawa mereka akan mempertimbangkan permintaan sekiranya terdapat bukti dengan kad rawatan hospital milik Amru.

Sementara itu, Arsit tidak diwakili semasa pertuduhan dibacakan. – mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *