Turki Mengejutkan Juara Dunia, Perancis


Pemain Turki, Cengiz Under (kiri) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Perancis pada aksi kelayakan Euro 2020 di Konya, awal pagi tadi. – Foto Reuters

KONYA, Turki: Juara dunia Perancis tewas 2-0 kepada Turki dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Konya awal pagi tadi.

Kaan Ayhan menanduk masuk gol pembukaan Turki pada minit ke-30 dan Cengiz Under menambah jaringan sebelum rehat untuk memberikan kemenangan pertama tuan rumah ke atas Perancis.

Pemain Turki meraikan kemenangan selepas menewaskan Perancis dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Konya, awal pagi tadi. – Foto AFP

Didier Deschamps menurunkan sembilan pemain yang mengisi kesebelasan utama skuad final Piala Dunia tahun lalu tetapi Perancis bergelut untuk mencipta peluang, manakala Hugo Lloris beberapa kali menyelamatkan gawang daripada ancaman Turki.

“Ia tamparan hebat buat kami dan tidak ada apa yang boleh saya katakan,” kata Deschamps.

“Kami mempunyai cabaran berbeza pada Selasa dan saya perlu ucapkan tahniah buat Turki. Kami perlu kembali kepada asas.

“Apabila anda bermain sebegitu di peringkat ini, tidak ada perkara positif yang dapat diambil daripada perlawanan ini.

“Kami tidak memberi persembahan sepatutnya ke atas pasukan yang menampilkan permainan terbaik mereka. Itu bola sepak kelas tinggi dan ia tidak kira sama ada anda juara dunia atau tidak.”

Kemenangan meletakkan Turki tiga mata mengatasi Perancis di puncak Kumpulan H selepas skuad kendalian Senol Gunes memenangi ketiga-tiga perlawanan setakat ini.

Mereka akan meneruskan kempen bertemu Iceland pada Selasa manakala Perancis akan bertandang ke Andorra. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *