Ibu Siksa Anak, Demi ‘Bukti Cinta’ Kepada Kekasih

Jeniffer (kanan) mendera tiga anaknya. -Foto Agensi

Mexico City: Seorang wanita tergamak bertindak kejam dengan mendera tiga anaknya termasuk mencabut kuku kanak-kanak berkenaan semata-mata mahu membuktikan cintanya terhadap teman lelaki barunya.

Media Mexico melaporkan, Jennifer Marisol, 26, ditangkap polis tidak lama selepas bapa kanak-kanak malang berkenaan, Mauricio Alberto membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai tindakan bekas isterinya itu.

Alberto dilaporkan menemui beberapa video yang menunjukkan Jennifer mendera tiga anaknya seperti mencubit, menggoyang dengan kuat dan menarik kuku kanak-kanak malang berkenaan.

Lelaki itu sebelum ini menggunakan media sosial untuk merayu orang ramai mencari anaknya itu dan Jennifer yang menyembunyikan diri selepas Alberto membuat laporan polis.

“Saya meminta bantuan anda bagi mencari anak saya, Guillermo, 9, Samanta, 7, dan Melissa, 1, yang didera secara seksual serta fizikal oleh ibu mereka dan teman lelakinya,” katanya.

Tidak lama selepas laporan itu dibuat, polis berjaya menangkap Jennifer sebelum wanita itu didakwa atas tuduhan melakukan keganasan rumah tangga.

Tiga kanak-kanak berkenaan kini tinggal bersama bapa mereka selepas menjalani pemeriksaan fizikal dan mental. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *