Sungai Kiulu Jadi Sumber ekonomi Penduduk Setempat

Sungai Kiulu yang jernih serta pemandangan di sepanjang laluan ke kawasan berkenaan juga sangat menenangkan. – Gambar Bernama 

TUARAN: Sungai Kiulu yang merentasi kebanyakan kampung di daerah kecil Kiulu menjadi satu ‘permata’ yang kini menjadi sumber ekonomi penduduk setempat menerusi aktiviti pelancongan.

Walaupun sungai Kiulu telah menjadi lokasi pengunjung untuk melakukan akitiviti lasak iaitu berakit jeram sejak 15 tahun lepas, namun kini ia telah berkembang pesat dengan pelbagai aktiviti yang telah diwujudkan oleh penduduk setempat di sepanjang sungai berkenaan untuk dijadikan produk pelancongan.

Sungai Kiulu yang jernih serta pemandangan di sepanjang laluan ke kawasan berkenaan yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Kota Kinabalu, juga sangat menenangkan dengan keindahan alam sekitar yang belum dicemari.

Selain itu, habitat ikan di sungai Kiulu juga masih dikekalkan dengan adanya amalan Sistem Tagal yang telah dilaksanakan oleh penduduk kampung sepanjang sungai dan ia berjaya mewujudkan daya tarikan baharu kepada pelancong.

Industri pelancongan di Kiulu sebenarnya telah bermula dengan skala kecil sejak lebih 20 tahun lepas dan berkembang hingga hari ini dengan penyertaan lebih ramai pengusaha pelancong luar bandar, yang terdiri daripada penduduk setempat di situ, kata Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) Dr Edmon Guntis.

“Kemajuan pelancongan di Kiulu kini dipengaruhi beberapa faktor termasuk penglibatan penduduk setempat dalam bidang pelancongan luar bandar yang sangat menggalakkan kerana keindahan alam semula jadi khususnya sungai Kiulu telah menyediakan peluang kepada mereka untuk menjadi pengusaha pelancongan.

“Oleh itu, persatuan sangat mengalu-alukan lebih ramai penduduk di lebih 100 kampung di Kiulu untuk bersama-sama dan menjadi sebahagian daripada industri ini yang jelas dapat memberikan manfaat khususnya dalam kemakmuran ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata industri pelancongan luar bandar di Kiulu kini telah  menyediakan banyak pekerjaan tetap kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Teknologi Penyelesaian Ekopelancongan Mukim Ulu Kiulu, Sabah (MUKEST), Lodimun Balantis berkata  pembangunan sektor pelancongan di kawasan Kiulu telah menjadi pemangkin mempertingkatkan taraf ekonomi masyarakat kampung di situ.

“Tidak dinafikan bahawa keindahan dan kekayaan alam sekitar di Kiulu, khususnya keadaan sungai yang cantik dan belum dicemari menjadi faktor utama peningkatan sektor pelancongan di sini.

“Dengan adanya sumber air daripada sungai penduduk kampung juga dapat bergiat aktif dalam aktiviti pertanian yang kini turut menjadi produk utama di kawasan berkenaan,” tambahnya.

Lodimun berkata selain itu banyak pelabur luar yang datang untuk melabur di beberapa perkampungan di Kiulu, kerana tertarik dengan keindahan alam sekitar yang sudah semestinya menjadi tarikan pelancong.

“Contohnya Borneo Eco Tours telah mewujudkan satu pusat pelancongan di Kampung Mantob, Ulu Kiulu dan kini ia telah menyediakan pekerjaan kepada penduduk setempat,” tambahnya.

Kiulu yang terletak di daerah Tuaran, mempunyai 105 kampung dengan didiami lebih 50,000 penduduk, majoritinya masyarakat Kadazandusun. – Bernama 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *