Lelaki Maut Motosikal Berkuasa Tinggi Rempuh Kereta Parkir Tepi Jalan

Foto Media Sosial Facebook

Maut motosikal rempuh kereta diparkir tepi jalan

SEORANG penyelia kilang maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangi bersama rakan merempuh sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan di Batu 5, Jalan Apas, Tawau, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Vincent Poon Kar Fatt, 41, yang menunggang motosikal jenis Kawasaki disahkan maut di tempat kejadian manakala rakannya yang membonceng cedera pada beberapa anggota badan.

Foto Media Sosial Facebook

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor, berkata mangsa yang juga tahanan parol dipercayai dalam perjalanan dari arah Jalan Apas menuju Batu 4.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah Proton Waja yang diletakkan di bahu kiri laluan berkenaan.

Foto Media Sosial Facebook

“Pemilik kereta yang juga penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) berusia 21 tahun dikatakan sedang membantu sebuah lagi kereta Proton Wira yang mengalami kerosakan tayar.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak sejauh enam meter manakala rakannya tercampak ke pembahagi jalan. Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dan rakannya tidak memakai topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nor Azizulkifli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat sementara rakannya menerima rawatan di wad kecemasan hospital sama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A), Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *