Lebih 5,000 Hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Di-Pertua Negeri Sabah

KOTA KINABALU, 6 Jun – Lebih 5,000 tetamu pelbagai kaum menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin dan isteri, Toh Puan Norlidah R M Jasni di Istana Negeri, di sini, hari ini.

Majlis rumah terbuka bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari itu menghidangkan pelbagai juadah menarik, termasuk sate, ketupat, lemang dan rendang.

Selain menikmati hidangan, tetamu juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis tempatan negeri ini.

Pada majlis itu, Tun Juhar dan isteri turut meluangkan masa bersalaman dengan tetamu, selain memotong kek Aidilfitri bermotifkan kereta api, sebelum diagihkan kepada tetamu.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib. 

Tetamu kenamaan lain ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau, Datuk Christina Liew dan Datuk Jaujan Sambakong serta menteri-menteri kabinet negeri.            

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *