PM mohon maaf jika tidak beri kesenangan kepada rakyat

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada seluruh rakyat jika pentadbirannya sejak memerintah tahun lalu tidak membawa kesenangan kepada semua.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersyukur kerana diberi peluang meraikan sambutan Aidilfitri dengan rakyat.

“Saya dan isteri mengucapkan selamat hari raya kepada semua, maaf zahir dan batin kepada semua rakyat Malaysia jika ada apa-apa yang kami melakukan sepanjang tahun tidak membawa kesenangan kepada tuan puan.

“Saya amat bersyukur dan terima kasih kerana dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri tahun ini. Inilah negara kita Malaysia, negara kita yang banyak memberi nikmat kepada semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Kabinet di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, sambutan Aidilfitri membuktikan kepelbagaian kaum dan agama yang bersama-sama meraikan perayaan dalam keadaan aman dan tenteram.

“Inilah negara kita bersama, hidup rukun damai dan merayakan hari kebesaran semua kaum bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama .

“Dengan itu, negara kita menjadi aman dan kita dapat hidup senang-lenang serta sejahtera,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri bersalaman dengan pengunjung yang hadir di khemah utama majlis rumah terbuka berkenaan.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar swafoto bersama Dr Mahathir dan isteri. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *