WARISAN akan terus tingkatkan penambahan keahlian – Shafie

Mohd Shafie menunjukkan kad keahlian WARISAN yang baharu, pada sidang media di Ibu Pejabat WARISAN, di Kota Kinabalu. – NSTP/Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang kini mempunyai lebih 200,000 ahli akan terus berusaha memantapkan parti termasuk menambah jumlah keahliannya di negeri ini.

Presiden WARISAN yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata parti itu bagaimanapun akan meneliti secara mendalam berkaitan keahlian bagi memastikan mereka memahami perjuangan parti.

“Dalam usaha kita meramaikan ahli parti, dengan kini mempunyai hampir 200,000 ahli, kita meneliti secara lebih mendalam. Kita bukan hanya mementingkan jumlah (yang ramai) tetapi nilai ahli itu yang menjadi keutamaan.

“Ini penting agar mereka benar-benar tahu bahawa ikatan kepada perjuangan parti itu bukan hanya berlandaskan semata-mata menyertai parti hanya untuk sesuatu perkara tetapi sebaliknya perlu dengan niat yang baik…ini adalah keutamaan yang akan kita lakukan.

“Kita juga akan mengeluarkan kad keahlian kepada ahli parti dan berharap kekuatan parti akan dapat kita mantapkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi WARISAN di Ibu Pejabat WARISAN di Kolombong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung WARISAN, Loretto S Padua; Bendahari WARISAN, Terencce Siambun dan Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman.

Pada masa ini, WARISAN mempunyai 26 bahagian manakala lebih 700 cawangan seluruh Sabah setakat ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata dalam mesyuarat yang berlangsung hampir tiga jam itu, banyak perkara yang dibincangkan termasuklah mengenai hala tuju parti, perkara yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri dan juga bagaimana memperkasakan parti selepas pilihan raya lalu serta pemilihan parti.

“Dalam mesyuarat ini, kita juga telah melantik Ketua Penerangan WARISAN yang baharu iaitu, Datuk Dr Yusof Yacob (Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah), selain tujuh lagi ahli majlis tertinggi yang baharu termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Sabah berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan apa juga cadangan atau perubahan berkaitan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Saya juga maklum mengenai perkara ini dan perubahan yang akan dilakukan sama ada ada untuk mengurangkan kos (ESSCOM), tetapi apa yang penting ialah keberkesanan ESSCOM menjaga keselamatan di Sabah.

“Apa pun kita memberi kerjasama yang baik terhadap apa juga penstrukturan yang dilakukan kerajaan Pusat kepada ESSCOM. Kerajaan negeri memberi sokongan kerana isu keselamatan amat penting,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah portal yang memetik sumber bahawa ESSCOM akan distruktur semula untuk mengurangkan kosnya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *