Lelaki Terima Lima Jahitan Di Kepala Selepas Dipukul Dua Wanita Di Api-Api Centre

Gambar Hiasan

Rupanya penceroboh punca bil elektrik tinggi

LELAKI warga emas menerima lima jahitan di kepala selepas dipukul dengan tukul besi oleh dua wanita yang menceroboh masuk dan tinggal di rumahnya di Api-Api Centre, Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 67 tahun menuju ke kediamannya yang terletak di tingkat dua untuk membuat pemeriksaan memandangkan bil elektrik selalu tinggi walaupun tidak berpenghuni.

Sebaik tiba, pintu rumah terkunci dari dalam dan tiba-tiba seorang wanita membuka pintu menyebabkan mangsa terkejut lalu menegurnya kerana menceroboh sebelum menampar wanita terbabit.

Wanita itu kemudian membalas dengan memukul mangsa menggunakan tukul besi di kepala dan berlaku pergelutan sebelum seorang lagi wanita menendang mangsa.

Kedua-dua wanita itu cuba melarikan diri namun gagal apabila ditangkap oleh pengawal keselamatan yang menerima panggilan daripada mangsa.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Karamunsing untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan mendapati mangsa tidak mengenali kedua-dua wanita itu dan dipercayai suspek masuk ke dalam rumah menggunakan kad dan tolak di bahagian tepi tombol pintu.

Katanya, rumah berkenaan sudah tidak berpenghuni hampir tiga bulan dan mangsa tidak mengenali kedua-dua wanita terbabit.

“Mangsa yang cedera dirawat di Hospital Queen Elizabeth dan menerima lima jahitan di kepala.

“Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *